Tanam Pokok Sekali Tetapi Dapat Hasil Berkali-Kali / Berulang

Tanam Pokok Sekali Tetapi Dapat Hasil Berkali-Kali - Perancangan untuk menanam perlu dibuat terlebih dahulu supaya bekalan tanaman di Kebun Dapur tidak terputus. 

Pokok yang ditanam boleh dibahagikan kepada beberapa jenis seperti tanaman jangka masa pendek seperti sayuran daun, tanaman jangka masa sederhana dan jangka masa panjang.

Pokok ditanam sebahagiannya perlulah  pokok yang ditanam sekali tetapi boleh dituai berkali-kali (perennial atau pokok berbuah/berhasil berulang). Antara pokok yang saya sudah tanam di kebun dapur adalah seperti ulam-ulaman, serai, kunyit, pokok limau, pokok durian belanda, pokok kantan, pokok jambu, mangga dan pokok pisang (tumbuh anak pokok). Hasilnya berpanjangan selagi pokok dirawat dengan baik. Hasil tidak akan putus.

Pokok Bunga Kantan

Terdapat juga tanaman jangka masa sederhana seperti pokok cili, bendi, tomato yang boleh dituai hasilnya berbulan-bulan. Tanaman jenis ini boleh ditanam secara berfasa. Sebagai contoh apabila tanaman fasa pertama sudah mula berbunga, kita boleh menanam untuk fasa kedua. Bila fasa pertama sudah tamat, tanaman fasa kedua akan menyambung tugasnya. Begitulah diulang supaya bekalannya sentiasa ada.

Sayur daun boleh dipetik hasil dalam 1 bulan.

Terdapat juga tanaman yang ambil masa yang agak lama mendapatkan hasil seperti nanas pun saya ada tanam. 

Menanam Nanas

Tanaman untuk hasil segera seperti sayuran daun boleh juga ditanam sebagai tanaman awal kebun dapur.

Keseimbangan tanaman ini perlu dibuat bagi mempelbagaikan diet kita. Tidak terhad kepada beberapa jenis tanaman sahaja. 

Memilih Kaedah Menanam

Kita boleh memilih kaedah menanam yang bersesuai dengan persekitaran kita seperti kawasan lapang, kawasan sempit, kawasan kurang cahaya matahari atau kediaman aras tinggi seperti apartmen atau kondominium.

Untuk kawasan yang bertanah, saya syorkan tanam terus di tanah kerana banyak kelebihannya seperti dapat mengurangkan kos mula berkebun, akar boleh berkembang bebas (pokok tiada halangan membesar), tidak risau jika terlupa siram kerana tanah menyimpan kelembapan, pokok kurang stres dan banyak lagi.

Bagi yang mahu menanam menggunakan bekas seperti pasu, polibeg dan sebagainya perlu mengambil kira jenis tanaman yang hendak ditanam. Tidak semua pokok sesuai ditanam di dalam bekas yang agak terhad terutama yang berakar tunjang atau pokok yang cepat berakar. Jika tumbesaran akar terganggu, pokok boleh terbantut.

Pokok golden melon ditanam secara konvensional dan tanam dalam polibeg.

Jika diberi pilihan, saya akan pilih gabungan kedua-duanya.

Pada masa kini, kaedah menanam tidak terhad kepada kaedah konvensional. Boleh pilih juga untuk menanam secara hidroponik (guna media air tanpa tanah) atau fertigasi (menggunakan cocopeat).


Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama