Memulakan Kebun Dapur Dengan Kos Minima - Setiap kali memulakan sesuatu yang baru sudah pasti memerlukan masa, tenaga dan perlu mengeluarkan kos wang ringgit.
Saya sendiri melaluinya sejak awal tahun ini. Suatu pengorbanan untuk memenuhi angan-angan memiliki kebun dapur yang lebih sempurna selepas berpindah daripada Negeri di Bawah Bayu ke tanah tumpah kelahiran di Bumi Kenyalang.
Menyentuh tajuk entri ini mengenai kos yang minima, sememangnya ini adalah antara kekangan yang besar untuk memulakan kebun dapur dengan skala lebih besar daripada sebelum ini. Secara matematiknya, ianya melebihi daripada anggaran nilai ringgit yang saya congak sebelum ini.
Mahu tidak mahu saya kena mencari jalan untuk meminima atau bahasa mudahnya berjimat untuk mula berkebun.
Cara-cara Untuk Meminimakan Kos Berkebun Dapur
1. Menanam menggunakan sumber daripada dapur.
Tanaman pertama yang saya semai adalah biji buah tomato ceri. Biji benih saya ambil daripada lebihan buah tomato yang dibeli untuk dimasak. Namun pemilihan buah yang terbaik perlu dibuat seperti buah yang matang sepenuhnya, tidak busuk dan masih segar.
Selain itu, memilih biji benih yang berkualiti perlu dibuat dengan cara merendam biji benih tersebut. Biji benih yang timbul dibuang manakala biji benih yang tenggelam akan disemai.
Hasilnya, pokok berbuah dengan baik walaupun saya cuma tanam dalam polibeg yang kecil.
![]() |
| Pokok tomato ceri sudah berbuah |
Saya juga semai halia, kunyit, rock melon (buah beli di pasar) untuk ditanam semula. Pokok paku-pakis saya pindahkan ke tempat lain sebelum kerja memotong rumput saya lakukan.
![]() |
| Memindah pokok paku-pakis |
Pokok-pokok yang ada di sekeliling rumah juga boleh ditanam semula bagi membanyakkan pokok. Mudah dengan cara menggunakan keratan batang seperti ubi kayu, pokok chaya/ajinomoto, ulam raja dan sebagainya. Namun kaedah ini tidak mudah dan sering gagal.
2. Menyuburkan semula tanah dengan kaedah semulajadi
Tanah yang terbiar lama memang akan mengalami masalah kesuburan. Halaman kebun dapur saya memang mengalami masalah yang agak serius kerana sentiasa lembap oleh air bertakung. Masalah ini saya atasi dengan membuat parit tanah di sepanjang sempadan pagar dan kawasan tertentu. Hasilnya, masalah tanah ini dapat dikurangkan.
Saya menggembur semula tanah dan mengumpul 'top soil' untuk dijadikan batas. Kerja-kerja ini memang memerlukan masa dan tenaga yang banyak. Hujung minggu saya gunakan dengan sebaik mungkin dan saya 'curi-curi' waktu selepas habis kerja sebelah petang.
![]() |
| Bakar rumput dan daun pisang untuk mendapatkan arang dan abu. |
Batas yang digemburkan saya suburkan dengan menabur arang dan abu hasil pembakaran rumput dan daun pokok pisang. Selain itu, kulit telur ayam, kulit bawang juga boleh digunakan untuk kesuburan. Ini sebahagian saja yang saya coretkan. Saya akan kongsikan secara terperinci dalam entri blog yang akan datang.
3. Mendapatkan sampel baja, racun dan peralatan pertanian secara percuma.
Sebagai seorang pencipta kandungan 'content creator' menjadi satu kelebihan yang saya gunakan sepenuhnya. Saya banyak menerima sampel baja, racun dan peralatan pertanian daripada penjual dan pembekal dari platform seperti Tiktok Shop dan Shopee.
Hasilnya, kos untuk membeli input pertanian memang dapat dikurangkan dan seingat saya, sudah hampir dua (2) tahun saya bebas daripada berbelanja barang kebun di platform tersebut.
4. Meminjam peralatan berkebun.
Saya meminjam beberapa peralatan berkebun daripada bapa saya seperti mesin pemotong rumput dan mesin penyembur racun. Peralatan ini sangat membantu saya untuk melakukan kerja pembersihan pada peringkat awal kebun dapur.
5. Program Affiliate
Hampir sama dengan poin ke-3. Peluang untuk menjadi pendapatan daripada 'review' produk melalui program Affiliate sangat membantu mengurangkan kos kerana mendapatkan sampel secara percuma.
Sampel yang saya minta dan terima adalah produk yang saya perlukan untuk kebun dapur saya dan semestinya saya wajib mencubanya dahulu sebelum mempromosikannya.
Namun saya sudah mula meminta sampel yang 'mungkin' boleh dikaitkan dengan kebun dapur seperti topi berkebun, cermin mata dan sebagainya.
Bila kita memang menggunakannya di kebun dapur dan tidak menjadi masalah untuk membuat video review produk tersebut. Bukannya, video yang 'dibuat-buat' kerana ianya berdasarkan pengalaman sebenar.
![]() |
| Antara sampel percuma daripada pembekal |
Jadi, begitulah antara cara-cara yang saya lakukan untuk meminimakan kos memulakan kebun dapur. Banyak perkara baru akan dipelajari secara tidak langsung.



