Cabaran Merealisasikan Angan-Angan Untuk Memiliki Kebun Dapur

 Saya masih ingat ketika masih berada di Sabah, keluasan halaman rumah yang agak sempit serba-serbi membataskan saya untuk berkebun. Namun saya tidak mengalah dengan berkebun dengan pelbagai cara seperti hidroponik dan fertigasi selain menanam secara konvensional.

Alhamdulillah..

Selepas berpindah ke kampung halaman di Sarawak kini saya berpeluang untuk berkebun dengan skala yang lebih besar. Semakin besar angan-angan semakin besar juga tindakan perlu dibuat.

Cabaran Pertama.

Untuk mendapatkan kawasan untuk boleh dijadikan kebun secara tidak langsung memerlukan saya mencari rumah di atas tanah dan semestinya kos sewa pun besar. Pilihan rumah memang banyak tetapi banyak kriteria tidak dipenuhi seperti halaman sempit, halaman sudah di konkrit penuh dan sewa rumah yang agak mahal melebihi bajet bulanan.

Hampir 2 minggu berusaha mencari dan akhirnya berjaya menemukan rumah sewa yang terbaik dengan hampir memenuhi semua kriteria yang saya inginkan.

Walaupun sewanya agak mahal, saya 'pejam mata' sahaja.

Keadaan Asal Halaman Rumah Sewa Untuk Kebun Dapur
Keadaan asal kebun dapur di tepi rumah sewa.

Memang luas.. Berbaloi dengan sewa bulanannya.

Bayangkan saja..

Saiz halamannya boleh dibina sebuah rumah lagi yang saiz sama dengan rumah sewa yang ada sekarang.

Besarkan?

Buat pengetahuan semua, saya sendiri ada rumah yang dibeli berhampiran rumah sewa ini tetapi masih ada penyewa. Tambahan pula halamannya agak sempit dan menyukarkan saya merealisasikan angan-angan untuk berkebun dapur.

Cabaran Kedua.

Keluasan tanah yang besar. Jadi masalah pula bila 'one-man show'. Serba-serbi kena buat bersendirian.

Nasib baik isteri ada membantu untuk menangkap gambar serta merakam video untuk konten di media sosial.

Pertama kali cuba menggunakan mesin rumput.

Saya perlukan masa hampir 2 bulan untuk membuat pembersihan kawasan sahaja disebabkan cuaca tidak menentu serta masa di rumah agak terhad kerja masih bekerja menjalankan tugas hakiki di pejabat.

 Belum lagi ditambah dengan penyakit malas yang boleh datang dengan tiba-tiba.

Cabaran Ketiga.

Saya berpindah kebetulan pada musim tengkujuh. Tidak ada banyak peluang saya untuk berkebun. Keadaan tanah yang agak basah dan menyukarkan saya untuk bertindak.

Ambil kesempatan dengan cuaca yang baik untuk membuat batas.

Saya cuma dapat membuat parit tanah bagi mengalirkan air permukaan untuk mengurangkan air bertakung yang menyebabkan tanah menjadi lembap. Bila tanah sudah lembap, rumput dan lalang menjadi sangat subur.

Tuan tanah ada memberitahu semak-samun sudah disembur racun rumput. Namun nampaknya racun tersebut kurang berkesan kerana hujan yang sangat kerap.

Menyembur racun rumput.

Inilah peluang bagi saya untuk belajar menggunakan mesin potong rumput dan mesin penyembur racun. Kedua-duanya saya pinjam daripada bapa saya di kampung.

Boleh tahan penat juga memotong rumput rupanya. Tidak semudah kita melihat pemotong rumput melakukan kerjanya.

Bagi semburan racun pula, nasib baik menggunakan penyembur racun elektrik. Telinga tidak bingit seperti bunyi mesin rumput.

Selepas 4 bulan berusaha.

Dalam tempoh masa ini, saya cuma dapat membuat kerja pembersihan, mencangkul tanah untuk dibuat batas, membina parit tanah dan membuat semaian tomato, cili, halia, kunyit dan beberapa tanaman yang lain.

Tomato ceri sudah berbuah.

Setakat ini tomato yang saya tanam sendiri sudah mengeluarkan hasil walapun ditanam dalam polibeg sahaja. 

Pokok yang sediaada di halaman rumah seperti pokok bunga kantan dan pisang turut memberikan hasilnya juga. Sempat saya bersihkan dan berikan baja pisang untuk menambah kesuburannya.

Hasil pokok pisang


Nanti saya sambung lagi. 

Lama dah tak menaip.

Ada banyak cerita yang saya ingin kongsikan.

 

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama